Apa yang ada di dalam kepala kita bila menyebut pasal temuduga ialah pakaian yang sesuai, bawa dokumen-dokumen berkaitan,bercakap perlu yakin. Sudah pasti semua orang memikirkan perkara yang sama. Oleh itu, saya akan kongsikan beberapa tips yang berguna agar kita lebih bersedia.
1. Fizikal Mental Dan Badan
Calon digalakkan supaya tidur awal. Hal ini membolehkan tubuh badan mendapat rehat yang cukup dan seterusnya akan lebih bertenaga.
Keadaan fizikal yang sihat ini akan membantu calon membuat persediaan yang rapi bagi menghadapi sesi temuduga, kerana calon perlu menggunakan masa dan tenaga yang banyak dalam membuat persediaan. Sudah pasti keadaan ini memerlukan kondisi tubuh yang sihat dalam menghadapi situasi tersebut.
2. Dokumen
Antara dokumen penting yang perlu disediakan adalah, surat pangggilan temuduga, dokumen pengenalan diri, sijil kelayakan akademik, sijil penglibatan aktiviti luar, sijil kemahiran tambahan dan pencapaian atau penghargaan tertinggi yang pernah diperoleh.
Susun mengikut susunan bermula daripada pendidikan awal sehingga yang tertinggi. Ini sekaligus menunjukkan kesungguhan, inisiatif dan kreativiti calon itu sendiri.
3. Pengetahuan Am
Bagi mereka yang akan menghadiri sesi temuduga, aspek ini perlu diperkuatkan sebaik-baiknya. Hal ini merupakan antara elemen utama yang akan dinilai pada diri setiap calon. Sebelum pergi ke sesi temuduga, calon digalakkan mencari maklumat penting berkaitan dengan jawatan yang dipohon.
4.Deskripsi Tugas Jawatan yang Dipohon
Setiap calon perlu mempunyai maklumat mengenai skop bidang tugas yang meliputi peranan, kemahiran yang perlu ada, risiko yang mungkin terdedah sekiranya berjaya menjawat jawatan tersebut dan apa peluang kemajuan kerjaya yang boleh diperoleh. Maklumat tersebut akan membuatkan calon berasa lebih bersedia sebelum masuk ke sesi temuduga.
5.Isu Semasa Berkaitan Jawatan
Seseorang yang mempunyai kesungguhan perlu mempersiapkan diri dengan pengetahuan yang tinggi dan peka terhadap isu semasa yang berlaku di sekeliling. Ini termasuk isu nasional dan juga global. Dengan mengaitkan isu semasa yang berkaitan dengan jawatan yang dipohon, ia akan menambahkan keyakinan dan menambat hati penemuduga untuk mengambil calon itu bekerja.
6.Emosi
Adalah mustahil seseorang calon tidak gementar sebelum menghadiri temuduga. Namun perasaan ini perlu dikawal agar tiada perasaan negatif akan timbul sebelum calon di temuduga, Tidak mampu mengawal emosi akan menyebabkan calon resah, gelisah, emosi negatif dan seterusnya hilang keyakinan sewaktu sesi temuduga. Ini adalah sesuatu yang perlu dielakkan.
7.Keterampilan
Aspek ini memainkan peranan penting yang perlu dititikberatkan oleh setiap calon sebelum melangkah masuk ke sesi temuduga. Hal ini kerana, keterampilan diri merupakan perkara pertama yang akan dinilai sebaik sahaja calon melangkah masuk ke bilik temuduga. Keterampilan diri yang kemas, berfungsi untuk memberikan mesej dan impak yang positif kepada penemuduga. Malahan, ia menunjukkan bahawa calon mempunyai kesungguhan, berdisiplin dan serius untuk ditemuduga.
Bagi calon yang akan pergi ke sesi temuduga, ia digalakkan untuk mempunyai keterampilan diri yang sesuai seperti berikut:
Pakaian (Lelaki)
- Pakaian mestilah kemas dan bersih. Elakkan memakai t-shirt atau baju batik
- Warna pakaian hendaklah tidak terlalu gelap (contoh: hitam dan merah biru gelap dan sebagainya). Pakai pakaian yang berwarna lembut dan tidak berwarna-warni.
- Memakai seluar warna gelap. Seluar hendaklah daripada jenis ‘slack’ dan jangan sekali-kali memakai jeans.
- Memakai tali pinggang.
- Sekiranya jawatan yang dipohon merupakan jawatan berstatus profesional, calon disarankan untuk memakai tali leher dan tanda nama (jika ada).
- Memakai kasut kulit, elakkan hadir dengan memakai selipar atau sandal.
- Rambut mestilah pendek, kemas dan tidak berwarna. Sekiranya calon menyimpan janggut dan misai, ia hendaklah dipotong rapi dan tidak nampak berserabut.
- Memakai pewangi badan, tetapi tidak terlalu banyak.
Pakaian (Perempuan)
- Memakai pakaian yang kemas dan tidak terlalu menjolok mata.
- Pemilihan warna baju dan tudung haruslah daripada jenis lembut, tidak gelap atau terlalu terang.
- Sekiranya calon ingin memakai skirt, ia hendaklah skirt yang labuh dan tidak terlalu pendek.
- Memakai kasut kulit bertutup penuh dan berstokin.
- Tingkah Laku dan Percakapan
- Datang awal ke tempat temuduga. Ini termasuk mengetahui dengan lebih awal lokasi temuduga.
- Bersikap tenang dan tidak menunjukkan rasa gementar kepada panel temuduga.
- Mengucapkan Salam / Selamat Pagi kepada penemuduga
- Tidak duduk sehingga disuruh oleh panel temuduga.
- Menyerahkan dokumen apabila diminta.
- Membuat hubungan mata ‘eye contact’ dengan panel dengan kadar yang berpatutan terutamanya semasa berinteraksi.
- Menjawab soalan yang diajukan dan diiringi dengan sedikit senyuman.
- Posisi badan dalam keadaan tegak.
- Bertutur dengan nada yang jelas, boleh didengari dan tidak terlalu laju atau perlahan.
- Mengucapkan terima kasih sebelum melangkah keluar dari bilik temuduga.
Sebagai kesimpulan, setiap calon yang ingin berjaya perlu membuat persiapan yang rapi sebelum hadir ke sesi temuduga. Elemen dan aspek yang telah dijelaskan di atas perlu diambil serius oleh setiap calon. Penekanan kepada aspek-aspek tersebut dapat membantu, meningkatkan keyakinan calon sebelum berhadapan dengan panel pada sesi temuduga.
No comments:
Post a Comment